Semua perniagaan besar yang kita nampak hari ini, asalnya bermula daripada kecil.
Ada yang bermula di tepi jalan. Ada yang bermula dari dapur rumah. Ada yang hanya menjual beberapa pek sehari.
Macam mana mereka boleh berkembang menjadi besar?
Bagi aku, antara perkara penting ialah istiqamah, sabar, tidak mudah berputus asa dan sentiasa memperbaiki mutu serta kualiti produk. Dan semestinya, kena ada keikhlasan dalam apa yang kita buat.
Apa maksud ikhlas dalam berniaga?
Bagi aku, salah satu cara untuk melihatnya ialah dengan meletakkan diri kita sebagai pelanggan.
Kalau kita sendiri nak makan produk yang kita hasilkan, macam mana kita nak produk itu disediakan?
Contohnya, kalau kita suka makan popia yang intinya penuh, apabila kita berniaga popia, buatlah dengan inti yang penuh juga.
Jangan pula bila sampai masa nak menjual, kita mula kurangkan inti, nipiskan bahan dan kecilkan saiz semata-mata nak dapatkan margin keuntungan yang lebih besar.
Tak rugi pun kalau kita berikan yang terbaik.
Aku perhatikan, ramai peniaga terlalu fokus nak dapatkan untung cepat. Mereka nak kurangkan kos, nak besarkan margin dan nak hasilkan kuantiti sebanyak mungkin.
Tetapi apa gunanya kita dapat jual banyak kalau pelanggan hanya membeli sekali?
Dalam perniagaan, kita bukan sekadar nak dapatkan jualan pertama. Kita nak pelanggan datang semula. Kita nak mereka repeat order.
Itulah antara perkara yang perlu kita usahakan.
Kenapa pelanggan nak membeli semula?
Sebab pengalaman mereka ketika menikmati produk kita. Mungkin rasanya sedap, kualitinya konsisten, sampai teringat-ingat nak makan lagi. Atau mungkin kerana layanan kita yang baik.
Satu perkara yang aku belajar, dalam pasaran memang akan sentiasa ada orang lain yang menjual produk yang sama. Malah mungkin produk mereka lebih sedap, lebih cantik atau lebih murah.
Tetapi ada satu perkara yang boleh membuatkan pelanggan terus mengingati kita, iaitu layanan dan pengalaman yang mereka dapat ketika berurusan dengan kita.
Ini sangat penting.
Selain itu, kita boleh cuba buat upsell dan sesekali berikan over delivery.
Contohnya, pelanggan membeli tiga pek produk, kita berikan satu produk lain secara percuma. Bukan semestinya perlu dibuat setiap masa. Sekali-sekala pun sudah cukup untuk memberikan pengalaman yang berbeza kepada pelanggan.
Perkara kecil macam ini mungkin nampak biasa bagi kita, tetapi boleh menjadi sesuatu yang pelanggan ingat.
Dalam berniaga, ada orang berpesan supaya kita jangan terlalu bermurah hati. Kena berkira, kena jaga setiap sen supaya keuntungan tidak terhakis.
Aku faham maksudnya. Kita memang perlu mengawal kos dan menjaga kewangan perniagaan.
Tetapi bagi aku, jangan sampai terlalu berkira sehingga kita terlupa nilai sebenar seorang pelanggan.
Sebab jumlah yang kita dapat daripada seseorang pelanggan itu sebenarnya sangat subjektif. Kita bukan sekadar nak dapat duit daripada satu transaksi. Kita nak bina nilai dan hubungan jangka panjang.
Contohnya, kita dapat menjual satu produk berharga RM8 kepada seseorang pelanggan. Dia beli sekali sahaja, kemudian kita tak nampak lagi.
Berbanding seorang pelanggan yang membeli produk bernilai RM8, tetapi dia datang semula berkali-kali.
Mana satu lebih bernilai?
Sudah tentu pelanggan yang terus kembali.
Sebab itu, aku lebih suka melihat perniagaan dari sudut membina pelanggan, bukan sekadar mengejar jualan.
Jualan hari ini memang penting. Tetapi pelanggan yang datang semula itulah yang boleh membantu perniagaan kita bertahan lebih lama.
Akhirnya, kita kena ingat bahawa orang bukan hanya membeli produk. Mereka juga membeli pengalaman.
Jadi, berikan pengalaman yang baik. Jaga kualiti. Jaga layanan. Jangan terlalu berkira untuk memberikan sesuatu yang bernilai kepada pelanggan.
Mungkin keuntungan daripada satu jualan nampak kecil, tetapi kepercayaan pelanggan boleh membawa lebih banyak jualan pada masa hadapan.
Bersambung ke episod seterusnya...
