Bahagian 1 — Semuanya Bermula Dengan Sebuah Dapur
Kalau dikenang semula, rasanya sudah banyak jenis bisnes yang pernah aku cuba sepanjang hidup.
Pernah jual buku secara online. Pernah berniaga otak-otak di kedai orang, jual dadih, repack serunding, jual tudung labuh, buat acar buah. Pernah juga mengusahakan sekolah menunggang kuda (horse riding school) dan mengajar orang menunggang kuda.
Selain itu, pernah buat kursus Photoshop, kursus ArchiCAD, hasilkan fridge magnet, buat sijil, ambil gambar majlis perkahwinan, hasilkan custom photo album dan bina laman web.
Macam-macam.
Ada yang menjadi, ada yang sekadar singgah sebentar. Ada yang bertahan lama, ada yang akhirnya ditinggalkan.
Tapi setiap satunya memberikan pengalaman. Mengajar aku tentang manusia, pelanggan, pemasaran, pengurusan, kreativiti dan yang paling penting, tentang diri sendiri.
Rupanya semua pengalaman itu sedikit sebanyak mendewasakan.
Bagaimana pula Dapur Ketapang bermula?
Semuanya bermula daripada isteri yang mahu memudahkan urusan memasak di rumah.
Dia buat sambal sendiri supaya apabila hendak memasak, semuanya jadi lebih cepat. Tak perlu lagi bersusah payah menumis dari awal. Ambil sambal, masukkan dalam masakan dan siap.
Kemudian datang satu idea.
Why not try jual?
Kita pek, seal dan cuba pasarkan.
Mula-mula jual secara biasa-biasa sahaja. Kalau tak silap, sudah hampir setahun juga produk ini keluar masuk. Ada masa rajin buat, ada masa berhenti. Bila ada permintaan, kita buat. Bila tak ada, kita tak buat.
Tak ada perancangan besar pun ketika itu. Sekadar berkongsi sesuatu yang memang kami gunakan sendiri di rumah.
Kemudian datang pula satu niat yang lebih besar.
Sebenarnya, hasrat untuk pergi menunaikan Haji sudah ada sejak dua tahun lalu. Tetapi kalau dilihat semula, usaha untuk benar-benar bergerak ke arah itu tidaklah begitu kuat.
Sehinggalah tahun ini, perasaan untuk pergi Haji tiba-tiba terasa semakin kuat. Macam ada satu dorongan yang membuatkan aku mula berfikir, apa yang boleh aku usahakan untuk menambah dana istitoah?
Dalam masa yang sama, tiba-tiba ada promosi domain RM1.
Aku terus sambar. Tak fikir panjang.
Dari situlah lahirnya nama Dapur Ketapang.
Awal Oktober 2026.
Aku mulakan dengan produk yang memang sudah tersedia, iaitu sambal Ibutumis yang isteri buat selama ini.
Kali ini aku fikir, kita buat sedikit berbeza.
Aku tak mahu terlalu bergantung kepada sistem pre-order. Tak mahu setiap kali ada orang bertanya, kita terpaksa mengejar tempahan dan memenuhi permintaan mengikut masa orang lain.
Aku tetapkan satu prinsip:
Kita buat ready stock. Kita bekerja mengikut fasa dan kemampuan sendiri.
Bila produk tersedia, kita masukkan dalam stok. Pelanggan boleh membeli berdasarkan apa yang memang ada.
Kalau sesuatu produk ada lima pek sahaja, maka lima pek sahajalah yang tersedia. Kalau ada sepuluh, kita jual sepuluh.
Tak perlu paksa diri menghasilkan dalam kuantiti yang besar.
Aku mula terfikir, kenapa tidak kita hasilkan sahaja makanan yang memang kita makan di rumah? Buat lebih sedikit daripada keperluan sendiri, kemudian selebihnya kita kongsi dan jual.
Mungkin ada sambal, ada sosej, ada produk salai, ada pelbagai lagi makanan homemade.
Tak semestinya semua produk perlu sentiasa tersedia. Setiap satu boleh ada kuantiti dan fasa pengeluarannya sendiri.
Sedikit demi sedikit.
Bukan semata-mata mahu membina sebuah bisnes makanan yang besar, tetapi mahu mengusahakan sesuatu yang bermanfaat, yang boleh dinikmati orang lain dan dalam masa yang sama menjadi salah satu jalan untuk menambah dana istitoah ke Tanah Suci.
Begitulah permulaannya.
Daripada sebuah dapur, lahir satu idea. Daripada satu idea, muncul sebuah nama.
Dan perjalanan ini baru sahaja bermula.
Bersambung ke Bahagian 2...
