Bila kita mula berniaga sendiri, ada banyak perkara yang perlu dibuat. Kadang-kadang orang nampak kita hanya menjual produk, tetapi mereka tak nampak keseluruhan proses di belakangnya.
Nak siapkan satu produk pun bukan mudah.
Menyiang ayam, menyiang ikan, mencari dan mengubah suai resipi, mencuba berulang kali, merasa sama ada rasanya sudah betul atau belum. Kemudian mencari inspirasi, mengemas kini website, memikirkan packaging, membuat sticker, urusan printing, proses menyalai, membeli barang dan memastikan stok sentiasa mencukupi.
Semua ini memerlukan masa, tenaga dan perhatian.
Ada masa terasa penat. Ada masa terfikir juga, betul ke apa yang aku sedang buat ni?
Tetapi ada juga masa kita rasa seronok. Bila resipi menjadi, produk siap, packaging nampak cantik dan ada pelanggan membeli, semuanya memberikan kepuasan tersendiri.
Inilah pengalaman yang sedang membentuk kita.
Aku fikir, dalam proses membina Dapur Ketapang ini, kita perlu teruskan apa yang sudah dimulakan. Jangan mudah berhenti separuh jalan hanya kerana penat atau berdepan kesukaran.
Sebab dalam setiap proses itu ada pelajaran.
Kita mula tahu apa yang perlu dibuat dan apa yang sebenarnya tidak perlu. Kita belajar daripada kesilapan, membuat pemerhatian dan mengenal pasti bahagian mana yang boleh diperbaiki.
Contohnya, kita boleh melihat cara orang lain bekerja. Bagaimana mereka menyusun proses pengeluaran, menguruskan stok, membuat packaging dan menghantar pesanan.
Kemudian kita fikir, bagaimana nak memperbaiki workflow sendiri supaya lebih optimum?
Kita perlu ada perancangan perjalanan kerja harian. Mana yang perlu disiapkan dahulu, bila masa sesuai untuk membeli barang, bila nak membuat persediaan dan bagaimana nak mengurangkan kerja yang berulang.
Lama-kelamaan, kita akan jumpa sistem yang lebih sesuai dengan kemampuan sendiri.
Tetapi ada satu perkara yang aku rasa jauh lebih penting daripada semua kesibukan ini.
Jangan sesekali lupa siapa yang sebenarnya menggerakkan kita.
Kita mungkin rasa kita rajin. Kita rasa kita berani mengambil risiko. Kita rasa kita mempunyai pengalaman, kepandaian dan kemampuan untuk membina sesuatu.
Tetapi kalau Allah tidak memberikan akal, kekuatan dan keberanian, kita sebenarnya tidak mampu berbuat apa-apa.
Segala yang kita miliki datang dengan izin Allah.
Jadi, kepada siapa sepatutnya kita kembalikan segala kejayaan dan pencapaian ini?
Sudah tentu kepada Allah.
Kita selalu menyebut Alhamdulillah apabila mendapat sesuatu nikmat. Tetapi adakah cukup sekadar mengucapkan Alhamdulillah?
Aku teringat tentang firman Allah dalam Surah Ibrahim ayat 7, bahawa jika kita bersyukur, Allah akan menambahkan nikmat-Nya. Jika kita kufur, Allah memberikan amaran tentang azab yang berat.
Ini membuatkan aku berfikir tentang maksud syukur yang sebenar.
Syukur bukan sekadar ucapan di bibir. Syukur perlu diterjemahkan melalui ketaatan.
Bagaimana kita nak menunjukkan rasa syukur kepada Allah?
Dengan melakukan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang.
Kita bekerja, berniaga, mencari rezeki dan berusaha memberikan kehidupan yang baik kepada keluarga. Semua ini merupakan usaha yang mulia.
Tetapi bagaimana kalau kesibukan berniaga mula menyebabkan kita lewat solat?
Bagaimana kalau urusan pelanggan, pengeluaran dan penghantaran membuatkan kita mengabaikan kewajipan kepada Allah?
Bagaimana kalau kita terlalu sibuk mengejar jualan sehingga tidak mempunyai masa untuk membaca al-Quran, menuntut ilmu dan memperbaiki hubungan dengan Allah?
Di sinilah kita perlu berhenti seketika dan menilai semula keutamaan.
Jangan sampai perkara yang asalnya kita lakukan untuk mencari rezeki yang halal akhirnya menjadi penghalang untuk kita taat kepada Allah.
Kita berniaga untuk keluarga. Kita mahu mereka hidup senang. Kita mahu ada simpanan dan masa depan yang lebih baik.
Tetapi semua itu tidak sepatutnya mengatasi tujuan utama kita diciptakan.
Aku tidak mahu Dapur Ketapang menjadi sebab aku semakin jauh daripada Allah.
Aku mahu perniagaan ini menjadi salah satu jalan untuk mencari rezeki yang halal, membantu keluarga dan melakukan kebaikan.
Kalau perniagaan semakin berkembang tetapi ketaatan semakin berkurangan, ada sesuatu yang perlu diperbetulkan.
Akhirnya, bukan berapa banyak produk yang kita berjaya jual yang menjadi ukuran paling utama.
Tetapi bagaimana kita menguruskan amanah, menggunakan nikmat yang diberikan dan memastikan semua usaha ini tidak melalaikan kita daripada tujuan hidup yang sebenar.
Berniagalah bersungguh-sungguh, tetapi jangan sampai kesungguhan itu membuatkan kita lupa kepada Allah.
Bersambung ke episod seterusnya...
