Dapur Ketapang Logo
Menu Utama ↗
Diari 7
Strategi

Nota 7: Mencari Model Perniagaan Yang Sesuai

15 November 2026
•
Abi
•

“mencari model perniagaan yang sesuai melalui pelbagai pengalaman menghasilkan makanan seperti Serunding Mokku, Dadih Seroot, Acar Buah Tokteh dan Otak-otak Kempas. Setiap pengalaman mengajar tentang proses, keuntungan dan penambahbaikan. Daripada pemerhatian terhadap peluang di media sosial, muncul pula idea menghasilkan sosej ayam homemade yang praktikal untuk keluarga.”

Nota 7: Mencari Model Perniagaan Yang Sesuai

Dalam perniagaan, sebenarnya ada banyak model yang boleh kita gunakan. Cuma apabila baru bermula, kadang-kadang kita sendiri tidak tahu model mana yang paling sesuai dengan diri kita.

Begitulah juga dengan Dapur Ketapang.

Hari ini kita nampak Dapur Ketapang bermula dengan sambal Ibutumis. Tetapi sebelum sampai ke tahap ini, sebenarnya sudah macam-macam pengalaman berniaga makanan yang pernah kami lalui.

Kalau diimbas semula, perjalanan itu agak panjang juga.

Antara yang pernah dibuat dahulu ialah perniagaan repack serunding. Kami beli serunding secara pukal dari Terengganu, kemudian bawa balik, repack, seal dan letakkan jenama sendiri dengan nama Serunding Mokku.

Kemudian kami buat pula dadih Seroot. Keistimewaan dadih ini ialah penggunaan fresh milk, bukan susu tepung. Ketika itu, itulah USP yang kami cuba tonjolkan.

Selepas itu ada pula acar buah Tokteh. Kami beli buah-buahan, masak dalam kawah besar, kemudian repack dan jual.

Pernah juga berniaga otak-otak Kempas. Otak-otak dibeli dari Johor, dibawa naik bas, kemudian menumpang sebuah kedai makan orang untuk berniaga. Waktu berniaga pula bukan sekejap. Bermula selepas Isyak dan berakhir sekitar tengah malam.

Macam-macam pengalaman.

Kalau difikirkan, setiap model perniagaan itu ada ceritanya sendiri. Ada yang mudah diuruskan, ada yang agak renyah. Ada yang prosesnya panjang dan susah, tetapi hasilnya tidaklah begitu berbaloi. Ada pula yang nampak susah pada awalnya, tetapi apabila sudah faham prosesnya, rupanya lebih mudah dan menguntungkan.

Tak mengapa.

Bagi aku, semua itu sebahagian daripada proses belajar. Setiap pengalaman pasti ada sesuatu yang bernilai, walaupun bukan semuanya menghasilkan keuntungan seperti yang kita harapkan.

Sebab itulah apabila membina perniagaan, kita kena banyak bersabar. Cuba, hadapi masalah, baiki, kemudian improve. Proses ini bukan berlaku sekali sahaja. Ia akan berulang berkali-kali sepanjang kita berniaga.

Kita kena sentiasa berfikir.

Aku perasan, apabila kita sudah terbiasa memikirkan tentang perniagaan, otak kita seolah-olah sentiasa bekerja mencari peluang.

Tengok sesuatu perkara yang lalu di depan mata pun boleh mencetuskan idea.

Eh, benda ini boleh dibuat produk. Eh, kalau aku buat begini, prosesnya mungkin lebih mudah. Eh, masalah orang ini sebenarnya boleh jadi satu peluang perniagaan.

Kadang-kadang melihat orang lain, melihat kesusahan mereka atau melihat sesuatu masalah yang berlaku di sekeliling kita boleh memberikan idea untuk menghasilkan sesuatu yang berguna.

Kita mula nampak peluang pada perkara-perkara yang sebelum ini mungkin tidak pernah kita fikirkan.

Idea perniagaan bukan semestinya datang ketika kita duduk merancang. Kadang-kadang ia datang ketika kita sedang melihat kehidupan seharian.

Begitulah satu hari, ketika sedang melihat-lihat media sosial, aku ternampak seorang kakak yang menghasilkan sosej sendiri. Menariknya, produk tersebut mendapat sambutan yang sangat baik.

Aku mula terfikir.

Why not kita buat juga?

Tetapi aku tak mahu sekadar menghasilkan sosej biasa. Aku mula fikir tentang satu produk yang lebih sesuai untuk keluarga, khususnya anak-anak.

Sosej ayam homemade, menggunakan bahan ayam segar, sayur-sayuran dan rempah ratus. Sesuatu yang boleh membantu mak-mak menyediakan sarapan dengan lebih cepat pada setiap pagi sebelum anak-anak ke sekolah.

Kita tahu waktu pagi selalunya agak kelam-kabut. Banyak perkara perlu disediakan. Kalau ada produk yang mudah disediakan, tetapi kita sendiri tahu apa bahan yang digunakan, tentu ia boleh membantu.

Jadi aku tak tunggu lama.

Terus sahaja buat pesanan untuk mould sosej. Aku beli mould yang boleh menghasilkan empat batang sosej dalam satu masa.

Kakak yang aku lihat tadi menggunakan silicone mould. Tetapi aku mula berfikir tentang pilihan bahan untuk peralatan sendiri. Aku mahu mencuba menggunakan stainless steel SUS404.

Ini menjadi salah satu perkara yang mahu aku tonjolkan sebagai USP dalam proses penghasilan sosej kami.

Dari situ bermulalah satu lagi eksperimen baharu di Dapur Ketapang.

Daripada sambal, kita pergi kepada sosej pula.

Dan seperti biasa, apabila mula menghasilkan sesuatu produk baharu, akan ada banyak perkara yang perlu dicuba. Formula, rasa, tekstur, bentuk, proses memasak dan pembungkusan. Semuanya perlu melalui proses percubaan dan penambahbaikan.

Aku semakin sedar bahawa membina perniagaan bukan sekadar mencari produk yang boleh dijual. Kita perlu sentiasa memerhati, berfikir dan mencuba.

Kadang-kadang idea yang nampak kecil itulah yang membuka jalan kepada sesuatu yang lebih besar.

Begitulah perjalanan Dapur Ketapang. Satu demi satu produk muncul daripada pengalaman, pemerhatian dan percubaan.

Kita tidak semestinya tahu produk apa yang akan menjadi pada masa hadapan. Tetapi selagi kita terus belajar dan berani mencuba, peluang itu sentiasa ada.

Galeri Foto Catatan

2 Foto
Foto 1 - Nota 7: Mencari Model Perniagaan Yang Sesuai
Foto 2 - Nota 7: Mencari Model Perniagaan Yang Sesuai
Apresiasi Pembaca

Suka dengan cerita & catatan perjalanan ini?

Tekan butang suka untuk memberikan sokongan kepada usaha kami membina dapur salai tradisi sabut kelapa dan sajian 100% Real Food.

Sambungan Catatan • Diari 8

Nota 8: Berani Bermula, Berani Juga Berhenti

Pengalaman mengusahakan Assakaf Equine Centre mengajar aku bahawa perniagaan yang kelihatan hebat belum tentu menguntungkan atau sesuai dengan kehidupan kita. Selepas dua tahun menguruskan sekolah menunggang kuda, aku memilih untuk berundur walaupun banyak kenangan dan pencapaian. Pengalaman itu mengajar tentang pengurusan, strategi, pengorbanan dan kepentingan meletakkan keluarga sebagai keutamaan dalam berniaga

Terus ke Diari 8
Kongsikan Catatan Ini:

Catatan Diari Lain

Kisah perjalanan, operasi dapur dan refleksi masakan real food dari Pekan.

Lihat Semua

Mahu Rasa Masakan Real Food Kami?

Tempah pek Whole Leg Ayam Salai, Smokey Breast Chicken, atau Sosej Homemade Pekan hari ini.

Pesan Menu Ready Stock ↗
Nota 7: Mencari Model Perniagaan Yang Sesuai | Diari Dapur Ketapang | Dapur Ketapang