Dapur Ketapang Logo
Menu Utama ↗
Diari 5
Catatan Perjalanan

Nota 5: Berniaga Perlukan Ilmu, Bukan Sekadar Keberanian

11 November 2026
•
Abi
•

“Pengalaman berniaga bukan sekadar mengajar kita mencari pendapatan, tetapi membina ilmu, keberanian dan kemahiran. Daripada pengalaman menjual dadih Seroot, otak-otak sehinggalah berjaya menjual lebih 100 botol sambal hitam di booth Muzium Pahang, setiap perjalanan memberikan pengajaran tentang pemasaran, sistem perniagaan dan keberanian memperkenalkan produk tanpa malu.”

Nota 5: Berniaga Perlukan Ilmu, Bukan Sekadar Keberanian

Ada satu perkara yang aku rasa sangat penting apabila kita mahu melakukan sesuatu, termasuklah dalam perniagaan.

Ilmu.

Ramai orang mula berniaga kerana melihat orang lain berniaga. Tengok orang lain berjaya, nampak orang lain buat duit, lalu timbul keinginan untuk turut sama berniaga.

Tak salah. Malah, itu mungkin menjadi titik permulaan yang baik.

Tetapi masalahnya, apabila sudah mula berniaga, kita tak tahu bagaimana hendak mengembangkan perniagaan tersebut. Kita nampak orang lain berjaya, tetapi kita tak nampak apa yang ada di belakang kejayaan mereka.

Mereka mungkin ada sistem, ada ilmu, ada pengalaman dan ada strategi yang dibina bertahun-tahun. Sedangkan kita pula baru bermula, tanpa sistem dan tanpa pengetahuan yang mencukupi.

Akhirnya apabila perniagaan tidak menjadi, kita mula menyalahkan keadaan, pelanggan, ekonomi atau orang lain.Sedangkan mungkin masalah sebenarnya ialah diri kita sendiri yang tidak mahu belajar.

Kita mahu hasil, tetapi tidak mahu melalui proses menuntut ilmu. Aku teringat pengalaman ketika mula-mula mengusahakan dadih Seroot dahulu.

Waktu itu aku masih bekerja di sebuah firma arkitek. Bayangkan, siang bekerja sebagai arkitek, tetapi dalam masa yang sama mengusahakan dadih. Malam pula keluar menjual otak-otak di gerai orang.

Kalau difikirkan, mungkin ada orang yang tertanya-tanya. Kenapa seorang yang bekerja di firma arkitek sanggup menjual dadih dan otak-otak?

Tetapi aku tak pernah terlalu memikirkan apa orang kata.

Kita sedang mencari pekerjaan dan pendapatan yang halal. Apa yang hendak dimalukan?

Aku rasa ramai orang terhalang daripada melakukan sesuatu bukan kerana mereka tak mampu, tetapi kerana terlalu memikirkan pandangan orang lain.

Sebab malu, produk yang bagus tidak berani dipasarkan. Sebab malu, peluang yang ada tidak diambil. Sebab malu, kita sendiri yang menutup pintu rezeki.

Bagi aku, kita perlu tahu membezakan perkara yang memang patut dimalukan dengan perkara yang tidak sepatutnya menjadi penghalang.

Kalau mencari rezeki yang halal, kenapa perlu malu?

Malah dalam urusan dakwah pun begitu. Kalau kita mahu menyampaikan kebaikan, tetapi terlalu malu sehingga akhirnya tidak jadi menyampaikan, bagaimana dakwah hendak berkembang?

Kadang-kadang kita perlu melawan perasaan sendiri untuk melakukan sesuatu yang baik.

Pengalaman mengusahakan dadih itu sebenarnya mengajar aku banyak perkara.

Bukan sekadar cara menghasilkan produk, tetapi juga tentang pemasaran dan bagaimana berhadapan dengan pelanggan.

Daripada pengalaman itu, aku pernah mendapat peluang untuk berniaga di booth Muzium Pahang. Ketika itu aku menjual sambal hitam.

Aku belajar bahawa dalam pemasaran, kita perlu bergerak. Kita tak boleh hanya duduk dan berharap orang akan datang mencari produk kita.

Kita mungkin ada produk yang sangat bagus. Rasa sedap, kualiti baik dan harga berpatutan. Tetapi kalau orang tak tahu kewujudan produk tersebut, apa gunanya?

Sebab itulah kita perlu keluar memperkenalkan produk.

Alhamdulillah, sewaktu menjaga booth di Muzium Pahang itu, aku berjaya menjual lebih daripada 100 botol sambal hitam.

Mungkin bagi orang lain, angka itu biasa sahaja. Tetapi bagi aku, pengalaman tersebut sangat berharga.

Daripada pengalaman-pengalaman kecil inilah kita belajar. Kita belajar bercakap dengan pelanggan, memahami kehendak mereka, memperkenalkan produk dan menutup jualan.

Ilmu yang diperoleh itu mungkin nampak mudah, tetapi nilainya besar.

Apabila kita sudah ada ilmu dan pengalaman, kita boleh melakukan sesuatu dengan lebih betul, cepat dan tepat. Kita tidak perlu lagi bermula dari kosong setiap kali mahu mencuba perniagaan baharu.

Sebab itulah aku percaya, kalau kita sudah memahami asas perniagaan, pemasaran dan pengurusan, insya-Allah lebih mudah untuk kita mengusahakan produk yang lain pula.

Hari ini dadih, esok sambal. Hari ini otak-otak, esok sosej. Produk boleh berubah, tetapi ilmu dan pengalaman yang kita kumpul itu akan terus digunakan.

Aku semakin menghargai setiap detik dan pengalaman yang pernah dilalui. Ada perkara yang dahulu nampak kecil dan tidak penting, tetapi rupanya menjadi bekalan yang sangat berguna pada hari ini.

Jangan mudah merungut. Jangan malas belajar. Jangan terlalu cepat menganggap sesuatu pengalaman itu sia-sia.

Hargailah setiap pengalaman dalam hidup. Kerana apa yang kita lalui hari ini mungkin menjadi ilmu yang sangat berguna untuk kita pada masa hadapan.

Bersambung ke Bahagian 6...

Galeri Foto Catatan

1 Foto
Foto 1 - Nota 5: Berniaga Perlukan Ilmu, Bukan Sekadar Keberanian
Apresiasi Pembaca

Suka dengan cerita & catatan perjalanan ini?

Tekan butang suka untuk memberikan sokongan kepada usaha kami membina dapur salai tradisi sabut kelapa dan sajian 100% Real Food.

Sambungan Catatan • Diari 6

Nota 6: Jangan Sampai Dunia Menjadi Matlamat

Catatan refleksi selepas tujuh tahun meninggalkan pekerjaan tetap dan memilih untuk bekerja sendiri. Perkongsian tentang kepentingan meletakkan akhirat sebagai matlamat utama, memperbetulkan mindset dalam berniaga serta tidak membiarkan kesibukan mencari rezeki menyebabkan kita melupakan Allah, Pemberi Rezeki.

Terus ke Diari 6
Kongsikan Catatan Ini:

Catatan Diari Lain

Kisah perjalanan, operasi dapur dan refleksi masakan real food dari Pekan.

Lihat Semua

Mahu Rasa Masakan Real Food Kami?

Tempah pek Whole Leg Ayam Salai, Smokey Breast Chicken, atau Sosej Homemade Pekan hari ini.

Pesan Menu Ready Stock ↗
Nota 5: Berniaga Perlukan Ilmu, Bukan Sekadar Keberanian | Diari Dapur Ketapang | Dapur Ketapang